Mat rempit kena penjara dua tahun

mat rempit

TERIMA HUKUMAN: Ahmad Afzal dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuantan, semalam. Selain dipenjara Ahmad Afzal turut didenda RM6,000.

KUANTAN: Seorang ‘mat rempit’ dipenjara dua tahun dan denda maksimum RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas didapati bersalah berlumba haram dan melakukan aksi berbahaya dengan berdiri di atas motosikal kira-kira dua tahun lalu.

Majistret G Ramesh menjatuhkan hukuman itu terhadap jurukimpal, Ahmad Afzal Sabari Zumadi, 20, dari Kampung Sungai Ular di sini, kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Difahamkan, hukuman penjara dan denda itu adalah yang tertinggi dikenakan bersabit kesalahan berlumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya setakat ini.

Hukuman penjara itu berkuat kuasa semalam dan mahkamah juga memerintahkan lesen memandu Ahmad Afzal digantung selama dua tahun bermula pada tarikh yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Afzal didakwa melakukan aksi ’superman’ dengan berdiri di atas motosikal Yamaha RXZ yang ditungganginya sambil mendepakan tangan kanan dan kiri ketika melalui Jalan Mahkota di sini pada jam 12.30 pagi 28 Mei 2006.

Ketika mengemukakan rayuan menerusi peguam Che Ariffin Mohd Ali, tertuduh meminta hukuman denda terhadapnya dikurangkan kerana pendapatan bulanannya hanya RM700.

“Saya menyesal melakukan kesalahan itu dan ketika ini terpaksa menanggung ibu bapa yang sudah tua dan adik bongsu yang masih bersekolah,” katanya.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa, Cif Inspektor Hashim Yahya, membantah dan meminta mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada ‘mat rempit’ lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

“Penunggang motosikal adalah kumpulan tertinggi yang terbabit dalam kemalangan di jalan raya dan hukuman setimpal perlu dikenakan dalam usaha kita membanteras gejala ini,” katanya.

Mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987, kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM6,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala sabitan kali kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bulan lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhamad Sabtu Osman, berkata pindaan terhadap seksyen itu akan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap ‘mat rempit’.

Mengikut pindaan yang sudah dibentangkan di Parlimen bagi bacaan kali pertama dan kini menunggu untuk bacaan kali kedua sebelum dibahas dan diluluskan, sesiapa yang terbabit dalam lumba haram boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta lesen digantung selama tiga tahun.

Kesalahan kedua pula boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda tidak kurang RM10,000 dan lesen memandu digantung selama lima tahun manakala kenderaan mereka disita.

Sesiapa yang didapati menonton lumba haram atau mewujudkan provokasi kepada pelumba haram juga akan didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Tinggalkan jawapan