PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengemukakan usul pelantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada persidangan penggal pertama Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat pada 28 April yang lalu. Pelantikan itu disokong oleh Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (kiri). – Gambar Bernama
PM setuju RTM henti siaran langsung sidang Dewan Rakyat
KUWAIT: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kekecohan yang ditimbulkan Ahli Parlimen pembangkang pada hari pertama sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1 kelmarin sebagai memalukan.
Berikutan itu Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan Kementerian Penerangan supaya Kabinet yang bermesyuarat hari ini membuat keputusan menghentikan siaran langsung itu.
Beliau yang menyifatkan tindakan sebilangan Ahli Parlimen pembangkang berkenaan sebagai keterlaluan, percaya mereka berkelakuan sedemikian semata-mata untuk menonjolkan diri kepada rakyat kerana ia disiarkan secara langsung.
“Saya ada dalam dewan dan apa yang berlaku amat keterlaluan. Saya pun rasa malu apabila orang ramai tengok apa yang berlaku dalam dewan. Timbul dalam hati saya semuanya berlaku kerana ada siaran TV. Memang mereka bertindak seperti itu supaya mereka dapat dilihat berbahas dan beraksi.
“Kalau itu keputusan yang dibuat Menteri Penerangan (menghentikan siaran langsung), saya setuju,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia selepas Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Keempat, di sini semalam.
Hari pertama sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, yang julung kali disiarkan secara langsung itu hangat dan kecoh apabila pembangkang sering mempersoalkan beberapa peraturan mesyuarat sehingga hanya tiga soalan dijawab dalam tempoh sejam setengah.
Ditanya sama ada tindakan itu bertentangan dasar ketelusan kerajaan, Abdullah berkata ketelusan tetap ada kerana wartawan dan orang ramai bebas untuk hadir dan menyaksikan sendiri persidangan Dewan Rakyat.
“Ketelusan ada, apa nak gaduh sangat. Kita benarkan wartawan buat liputan Parlimen dan mereka bebas buat laporan. Bukan saja wartawan, rakyat pun boleh pergi tengok… bukan kita tutup pintu, kita buka pintu, masuklah bila-bila masa saja,” katanya.
Mengenai penggunaan perkataan ‘bigfoot’ dan ‘big monkey’ ketika perbahasan, Perdana Menteri berkata ahli Dewan Rakyat tidak patut menggunakan perkataan yang tidak sopan, menengking atau bercakap tanpa kebenaran Yang Dipertua kerana ia melanggar peraturan mesyuarat.
“Ikut ketertiban perbahasan Parlimen, apabila seseorang ada sebab nak tanya dia kena bangun. Dia tak boleh bangun ikut suka, tengking dengan suara kuat. Kita ada sistem mikrofon suara yang tinggi kualiti. Cakap perlahan pun boleh dengar,” katanya.
Ditanya sama ada beliau yakin dengan keupayaan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, mengendalikan persidangan, Abdullah berkata beliau berpengalaman dan tahu melaksanakan tugasnya.
Malah, katanya, keputusan Pandikar Amin tidak membenarkan soalan tambahan diajukan pernah dilakukan Yang Dipertua sebelum ini dan sewajarnya perkara itu menjadi rujukan.
“Saya yakin dengan Speaker. Berilah dia peluang… dia bukan tidak ada pengalaman. Semalam (kelmarin) dia macam tak tahu, tetapi (sebenarnya) dia tahu. Ada perkara yang bersabit dia dah buat keputusan…cuma masih ada bantahan.
“Bukan tak pernah berlaku dulu. Bila Speaker dah kata tak payah ada soalan tambahan tetapi bila ada beberapa soalan yang dia fikir ada kepentingan rakyat dan rakyat nak dengar…dia kata teruskan. Kalau tak, terlepaslah. Itu budi bicara Speaker untuk buat keputusan,” katanya.
Mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting supaya saudara baru yang bercerai dengan pasangan Islam dibenarkan kembali ke agama asal, Perdana Menteri berkata:
“Isu ini ada dalam undang-undang yang ketika ini Peguam Negara sedang teliti… belum siap. Peguam Negara sudah jumpa pelbagai pihak untuk dapatkan pandangan sebelum dikemukakan di Parlimen untuk dibentang, dibahas dan diputuskan.”
Berhubung pertemuan dengan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Nasser Al-Mohammed Al-Ahmed Al-Jaber Al-Sabah, Perdana Menteri berkata mereka berbincang mengenai kerjasama, perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.
Di BIDOR, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata mesyuarat Kabinet hari ini dijangka membuat keputusan berhubung cadangan banyak pihak supaya kerajaan tidak menyiarkan siaran langsung kerana kelakuan Ahli Parlimen pembangkang boleh menimbulkan persepsi negatif orang ramai terhadap persidangan berkenaan.
Beliau berkata, keputusan mengkaji semula penyiaran siaran langsung itu dibuat kerana pemimpin pembangkang cuba meraih publisiti murahan, bukannya membawa isu ke arah membela kebajikan rakyat.
Katanya, kementeriannya berasa bertanggungjawab terhadap kekecohan di Dewan Rakyat yang ditonton rakyat seluruh negara walaupun tujuan sebenarnya memberi peluang kepada orang ramai melihat sejauh mana pemimpin yang dipilih menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan pengundi.
“Saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyiarkan secara langsung persidangan itu menyebabkan timbul persepsi buruk terhadap Dewan Rakyat dan jika berlarutan, kepercayaan rakyat terhadap dewan akan terhakis.
“Saya kesal sikap pemimpin pembangkang yang pandai berlakon dan hanya duduk diam apabila di belakang kamera, tetapi apabila sedar wajahnya disiarkan di televisyen, mula tunjuk belang seolah-olah sedang membela rakyat,” katanya pada majlis Sepetang Bersama Menteri di rumah Ketua Wanita Umno Bidor, Mahani Ibrahim.
Turut hadir, Ketua Umno Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib; Ketua Wanita Umno bahagian, Datuk Rusnah Kassim; Ketua Penerangan Umno negeri, Senator Datuk Azian Abdul Aziz dan Ketua Pemuda bahagian, Muhammmad Yadzan Muhammad.
Difailkan dalam: 1, Berita Terkini | Tagged: debat, dun, isu semasa, menteri, negara, parlimen, Politik, semasa














