Taufan Besar

22,500 disah terbunuh taufan besar di Myanmar

YANGON: Sekurang-kurangnya 22,464 penduduk disahkan terbunuh setakat ini dan lebih 41,000 lagi hilang akibat taufan besar yang melanda delta Irrawaddy di Myanmar, manakala pihak berkuasa semalam memberi amaran angka kematian akan terus meningkat apabila pasukan penyelamat tiba di kawasan pedalaman.

Menteri Luar, Nyan Win, dalam satu siaran televisyen berkata, di bandar Bogalay saja 10,000 penduduk dilaporkan maut dalam kejadian taufan paling buruk pernah melanda Asia sejak 1991, selepas 143,000 penduduk maut di Bangladesh.

Menteri Luar Thailand, Noppadol Pattama yang mengadakan pertemuan dengan Duta Myanmar di Bangkok berkata, beliau dimaklumkan 41,000 penduduk hilang berikutan taufan yang melanda Jumaat lalu.

“Jumlah kehilangan mungkin lebih besar daripada jangkaan kita,” kata Noppadol selepas Duta Ye Win enggan bercakap kepada pemberita.

Jumlah mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat taufan selaju 190 km sejam itu diramalkan beratus ribu dan mungkin boleh mencecah kepada jutaan, kata pegawai bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Junta tentera menerima tawaran bantuan luar bagi membantu mangsa walaupun mereka pernah menolak tawaran seumpama itu selepas tsunami melanda Lautan Hindi pada 2004.

Pegawai bantuan Kesatuan Eropah di Yangon, Bernard Delpuech berkata, junta menghantar tiga kapal membawa makanan ke wilayah delta yang menjadi ‘periuk nasi’ kepada 53 juta penduduk Myanmar itu.

Hampir separuh penduduk Myanmar tinggal di lima negeri yang dilanda bencana terbabit.

Agensi bantuan World Vision di Australia berkata, mereka menerima visa khas untuk menghantar petugas bagi membantu 600 kakitangan di negara Asia Tenggara itu.

“Pertubuhan seperti kami diberikan kebenaran yang belum pernah sebelum ini untuk membawa masuk kakitangan. Ini menunjukkan bagaimana teruk pemikiran kerajaan Myanmar,” kata ketua World Vision Australia, Tim Costello.

Berdasarkan senarai kematian dan hilang yang diumumkan Nyan Win, 14,859 kematian dicatatkan di Irrawaddy dan 59 di Yangon. � Reuters

Renungkanlah terjemahan ayat 63 – 65, Surrah Al-An’aam (klik sumber):

Katakanlah: Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara berterus-terang) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur.

Katakanlah: Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain).

Katakanlah: Dialah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu atau dari bawah kaki kamu atau Dia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah (berpuak-puak) dan Dia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.

Tinggalkan jawapan