Makan Angin

#1 Percutian Indah Di Pulau Legenda

99 buah pulau tropikal, terkenal dengan legenda Mahsuri yang tidak pernah padam. Kaya dengan seni bina tradisi, di kelilingi pantai dengan air membiru dan kehijauan pepohon, inilah Berjaya
Langkawi Beach & Spa Resort yang terletak di lokasi strategik Pulau Langkawi, Kedah.

Apalah sangat pemanduan selama 20 minit dari lapangan terbang untuk ke resort ini. Saat kenderaan memasuki pintu hadapan, wajah terpegun tatkala melihat keindahan resort yang
menyediakan sejumlah 502 bilik penginapan untuk tetamu.

Berlatarbelakang hutan hujan tropika yang berusia 500 juta tahun. Binaan chalet di sini adalah bercirikan tradisional Melayu, namun apa yang ada di dalam adalah kemewahan yang anda impikan selama ini. Deretan perabot moden dan balkoni persendirian amat sesuai untuk anda yang ingin bersendirian dalam suasana tenang.

Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort merupakan satu-satunya resort di Pulau ini yang mempunyai chalet yang dibina di atas air. Penginapan mewah ini merangkumi bilik-bilik dari jenis Premier Chalet, Junior Chalet on Water, Premier Chalet on Water, Executive Suite on Water, Presidential Suite on Water dan Langkawi Villa on Water.

Setiap jenis bilik menghadap pemandangan terindah laut Andaman. Buat anda yang datang untuk meraikan ulangtahun perkahwinan atau berbulan madu, mungkin tiada tempat lain yang lebih indah berbanding sini.

#2 Saksi Sistem Telekomunikasi Negara

Ingat lagi kah anda dengan baangunan yang menjadi latar belakang Metropulus di dalam filem Cicak Man arahan Yusri KRU.

Dengan tiang bulat yang tinggi persis bangunan luar negara pastinya membuatkan anda tidak percaya jika saya katakan bangunan cantik ini sebenarnya bangunan Muzium Telekom yang terletak di Jalan Raja Chulan.

Bangunan yang dibina pada tahun 1928 ini pada asalnya didirikan untuk menempatkan ibusawat telefon manual jenis `central battery`, telah diubahsuai untuk dijadikan sebuah muzium telekomunikasi interaktif yang pertama di Malaysia.

Bangunan bercirikan seni bina Greek ini dibina dengan sebuah ruang kabel bawah tanah dan susun atur lantai bagi pemasangan peralatan telekomunikasi yang merupakan contoh ibusawat telefon di negara ini pada ketika itu. Bangunan Muzium Telekom ini direka berbentuk ‘G’ dan
mempunyai koridor bersempadan dalam yang mempunyai sebuah gelanggang khidmat.

Seperti bangunan-bangunan kolonial zaman itu, bangunan setinggi dua tingkat ini dibina secara pertukangan batu mengikut berat dan stuktur. Bagi menyesuaikan pemasangan kabel-kabel untuk dewan telefonis telefon di tingkat dua, lantai kayu yang ditinggikan dengan sokongan palang-palang keluli telah dibina.

Tingkap-tingkap kaca dipasang secara simetri dan berhias untuk mempamerkan gaya binaan neo-klasik, diadaptasi dari corak kurun ke 19. Salah satu ciri binaan paling klasik dan unik
bangunan ini ialah deretan lapan tiang ionia yang diapit oleh dua menara berhadapan dengan Jalan Gereja.

Dari tahun ke tahun, fungsi bangunan ini menjadi bertambah penting sejajar dengan perkembangan telekomunikasi yang semakin pesat berkembang. Pada tahun 1960an, bangunan
ini dijadikan sebagai Ibupejabat Telekom Wilayah Selangor. Ketika itu bangunan ini menempatkan ibusawat telefon, pusat telefonis dan telegraf serta pejabat pentadbiran.

Pada bulan April 1985, bangunan ini telah diwartakan sebagai salah satu bangunan bersejarah di Malaysia. Kini, bangunan ini bukan saja merupakan bangunan bersejarah tetapi juga menjadi Muzium dan geleri yang menempatkan pelbagai jenis telefon dari zaman dahulu dan sejarah telekomunikasi di Malaysia.

#3 The Carnivall ala Bali

Taman tema bertaraf dunia dilengkapi permainan air sesuai untuk percutian seisi keluarga

MEREKA yang tinggal di zon utara Semenanjung kini tidak perlu berbelanja besar untuk berlibur bersama keluarga dengan pembukaan taman tema bertaraf dunia, The Carnivall, Sungai Petani, Kedah.

Baru memulakan operasi hujung tahun lalu, taman tema seluas 4.5 hektar itu menarik lebih 100,000 pengunjung. Sesuatu yang tidak menghairankan memandangkan lokasinya terletak lapan kilometer atau sepuluh minit jika memandu dari pusat bandar.

Diuruskan anak syarikat Eupe, Eupe Golf Management Berhad, The Carnivall yang bersebelahan Kelab Golf Cinta Sayang Sungai Petani, Kedah, dilengkapi pelbagai kemudahan aktiviti dan permainan air.

Uniknya, pusat percutian ala Bali yang menjadi destinasi taman tema tunggal di bandar ini memanfaatkan teknologi Kanada, menjanjikan pengalaman percutian yang menyeronokkan.

Memandangkan taman tema itu berkonsepkan hutan tropika, bumbung bangunan menggunakan atap nipah yang diimport dari Bali, Indonesia. Ia juga direka bentuk dengan mengutamakan ciri keselamatan.

Kunjungan anda dijamin tidak membosankan dengan layanan mesra daripada kakitangan terlatih. Keselamatan kanak-kanak menjadi keutamaan dengan beberapa kolam khas disediakan untuk mereka, lengkap dengan petugas penyelamat.

Taman tema yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM56 juta itu pelengkap CSGSR yang sinonim dengan konsep percutian mesra alam. Fasa pertamanya merangkumi pembangunan taman tema air memakan kos RM20 juta.

Fasa kedua membabitkan pembinaan permainan mencabar seperti ‘roller coaster’, manakala fasa ketiga yang mengandungi pusat hiburan keluarga, pusat beli-belah dan hotel yang membabitkan pelaburan kira-kira RM45 juta dijangka siap pada 2008.

Pengarah Urusan Eupe, Beh Huck Lee, berkata selain individu dan keluarga yang berkunjung ke The Carnivall, ia juga menjadi pilihan syarikat swasta atau jabatan kerajaan untuk mengadakan hari keluarga berikutan suasana persekitarannya yang cantik dan nyaman.

Beliau berkata, pihaknya menjangka jumlah pengunjung taman tema itu akan meningkat terutama pada musim cuti persekolahan berikutan harganya yang berpatutan selain tidak perlu berbelanja lebih untuk menikmati aktiviti permainan air.

“Dengan bayaran masuk RM22 bagi dewasa dan RM18 untuk kanak-kanak bawah 13 tahun serta percuma bagi mereka di bawah lima tahun, ia sama seperti dikenakan taman tema air lain di seluruh negara.

“Malah The Carnivall kini menjadi antara destinasi pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 dan kami berharap jumlah pengunjung akan meningkat kepada 500,000 menjelang Tahun Melawat Kedah (TMK) 2008.

“Pengunjung luar yang berkunjung ke The Carnivall juga boleh menginap di Hotel Cinta Sayang serta mencuba kemudahan akitiviti sedia ada seperti pusat golf, memanah, menunggang kuda, pusat menyelam dan gimnasium,” katanya.

Sukan golf menjadi antara tarikan utama di sini di samping aktiviti lasak lain seperti memanah, ‘paint ball’ dan sukan berkuda. Antara aktiviti mesti cuba di sini luncur air menggunakan pelampung getah pada ketinggian 15 meter. Anda tentu gayat apabila meluncur pada ketinggian sedemikian.

Pelbagai kemudahan lain seperti gelanggang sukan bola jaring, hutan rekreasi dan gerai menjual cenderahati disediakan.

Untuk mereka yang datang dari daerah luar, kelab golf ini menyediakan penginapan dengan kadar serendah RM230. Pakej kumpulan ditawarkan dengan jumlah minimum 10 orang.

Info

UNTUK KE SANA

>Dari Pulau Pinang – gunakan laluan Plaza Tol Sungai Petani Selatan (berhampiran Hotel Park Avenue) – lencongan Barat ke pusat bandar – Jalan Ibrahim dan Jalan Hospital Lama – Institut Kemahiran Mara (IKM) – CSGCR.

>Dari Alor Star – menghala Bandar Aman Jaya – IKM dan ikut simpang ke kiri – CSGCR.

LOKASI

The Carnivall Water & Land of Excitement
Jalan Kelab Cinta Sayang
08000 Sungai Petani, Kedah
www.thecarnivall.com.my

WAKTU OPERASI

Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad (10 pagi hingga 8 malam)
Isnin, Selasa dan Khamis (2 petang hingga 8 malam)
Ditutup pada hari Rabu

#4 NEXUS KARAMBUNAI RESORT, SABAH

Menurut legenda, pasangan diraja Brunei terkandas berhampiran Karambunai, Sabah. Kesihatan mereka kembali pulih apabila diurut menggunakan minyak herba oleh penduduk tempatan.

Mungkin kerana terpesona dengan keindahan alam semula jadi pantai dan hutan hujan khatulistiwa di situ, pasangan itu kemudian memutuskan untuk menetap di Karambunai.

Sejarah lisan itu mungkin boleh diragui, tetapi tidak pada keindahannya, Nexus Resort Karambunai, pusat peranginan lima bintang dibina sepanjang lima kilometer kawasan pantai.

Penginapan termasuk bilik 235 Borneo Villa di tujuh blok bangunan dua tingkatnya. Bilik tetamu dihiasi dengan kemasan kayu hutan dan perabot warna tanah.

Bagi yang berkemampuan, boleh memilih untuk tinggal di Ocean Wing menempatkan 250 bilik berhadapan taman, pantai dan laut. Selain itu, enam vila Royal dan Presiden lengkap dengan kolam renang dan taman peribadi.

Padang golf 18 lubang untuk kaki golf, manakala Spa Borneo sesuai untuk memanjakan diri selepas sehari suntuk bersantai di tepi pantai. Jika ada yang membawa anak kecil, hantar mereka ke Club Nexie sementara ibu bapa meluangkan saat romantis bersama-sama.

Pusat peranginan ini turut menyediakan pakej bulan madu lima hari empat malam bermula dari RM3,800. Selain itu, pakej perkahwinan pantai turut disediakan pada harga bermula RM9,800.

Maklumat lanjut hubungi 088 411222 atau layari www.nexusresort.com.

#5 JAPAMALA RESORT, TIOMAN, PAHANG

Namanya yang penuh mistik sudah cukup membayangkan percutian indah buat pasangan yang baru menempuh alam perkahwinan di sini. Ia membawa maksud untaian biji Japa yang digunakan untuk berdoa mengikut kepercayaan Buddha dan Hindu.

JapaMala adalah satu-satunya pusat peranginan butik di Pulau Tioman. Hanya 11 vila yang diberi nama ‘sarang’ dibina agak terlindung di kawasan berbukit menghadap Laut China Selatan.

Reka bentuknya mengadaptasikan gaya Melayu, Cina, India, Bali, Thai dan Vietnam berteraskan penggunaan kayu. Pembinaannya dilaksanakan dengan begitu teliti untuk meminimumkan jumlah pokok yang ditebang.

Tidak perlu ke kota besar, restoran Tamarind Terrace menyajikan hidangan Thai dan Indochina untuk melengkapkan pengalaman bulan madu anda.

Produser yang membawakan muzikal Puteri Gunung Ledang dan terbaru, P Ramlee The Musical … The Life, The Love, The Inspiration, Datin Seri Tiara Jacquelina, antara tetamu yang pernah menghabiskan percutian keluarga di sini.

Harga bergantung kepada musim dan tempoh promosi, sekitar RM600 dan RM980 untuk Hillside Plunge Pool Sarang Villa. Maklumat lanjut hubungi 09-419 6001; 03-4252 0836, atau layari www.japamalaresorts.com.

#6 BERJAYA REDANG BEACH RESORT, TERENGGANU

Di mana lagi mahu melihat penyu jika tidak bertandang ke Redang. Pulau ini sudah lama diwartakan sebagai santuari hidupan laut yang kian diancam kepupusan itu.

Bot dengan lantai lutsinar disediakan untuk “turtle wacthing”. Jika cuaca mengizinkan anda dapat melihat penyu yang sibuk mengawan terutama dari Mei hingga akhir Oktober.

Persisiran pantainya yang panjang juga menjadikannya sesuai untuk pelbagai aktiviti sukan air. Dari snorkling ke Teluk Mat Delah atau menyelam untuk melihat kerapu gergasi di Taman Laut, semuanya boleh diatur kakitangan bahagian rekreasi hotel.

Berjaya Redang Beach Resort menawarkan pelbagai pakej menarik mengikut promosi semasa. Maklumat lanjut, hubungi 1-800-88-3236, emel bhr@hr.berjaya.com.my or layari www. berjayahotels-resorts.com.

#7 Warisan Kesultanan Melayu silam diterapkan sepenuhnya pada keseluruhan pusat peranginan di Dungun, Terengganu ini.

Kedatangan pengunjung akan disambut dengan paluan gong oleh pekerja hotel yang berbaju Melayu lengkap dengan samping dan songkok. Kena pula dengan lokasinya di Pantai Timur, tetamu dilayan ramah oleh rakyat negeri yang semakin terkenal kerana penganjuran Piala Monsun ini.

Reka bentuknya mengambil konsep istana Melayu pada abad ke-17. Gaya Nusantara diterjemahkan ke seluruh bangunan menerusi ukiran tingkap dan hiasan dinding. Keindahannya mendapat pengiktirafan tertinggi dalam arena seni bina antarabangsa, Aga Khan.

Makanan tempatan seperti nasi dagang dan keropok lekor tidak puas dinikmati apabila berkunjung ke pusat peranginan ini. Perjalanan 45 minit dengan bot pula akan membawa ke lokasi popular untuk snorkling iaitu Pulau Tenggol.

Tetamu mempunyai pilihan sama ada untuk tinggal di Anjung (bilik single berhadapan pantai), Serambi (bilik tingkat bawah), Bumbung (bilik tingkat satu) dan Suite Anjung (kotej dibina di atas permukaan muara sungai).

Spa Village di sini dinobatkan sebagai Spa Paling Berinovasi 2007 oleh majalah elit Tatler United Kingdom. Maklumat lanjut hubungi 09-845 1100, emel ke tjara@po.jaring.my atau layari www.tanjongjararesort.com. Harga bermula pada RM920 semalam.

#8 FOUR SEASONS RESORT LANGKAWI

Keindahannya menarik minat ramai selebriti tempatan dan antarabangsa yang menginap di sini ketika singgah di pulau legenda, Langkawi. Mengikut cerita, Michael Jackson, Datuk Siti Nurhaliza dan kerabat diraja Brunei antara tetamu ternama yang pernah berkunjung ke sini.

Four Seasons Resort Langkawi menterjemahkan gabungan percutian mewah berlatarkan landskap semula jadi bentuk muka bumi pulau yang terkenal dengan legenda Mahsuri ini.

Pagar batu Ayuthia rona jingga yang memagari hotel, gerbang empayar Moghul dan laluan pejalan kaki dari kayu bekas landasan kereta api yang diterbangkan dari Borneo sudah cukup untuk menceritakan kemewahan pusat peranginan ini.

Seni bina Asia dan Timur Tengah ini dikelilingi taman bunga kertas dan pepohon kemboja ini menarik perhatian editor dunia sehingga diumumkan `World’s Best of the Best’ oleh Robb Report Luxury Resorts.

Dengan keluasan 48 ekar, hanya 91 bilik dibandingkan pantai sepanjang

1.5 kilometer, menjadikan lokasi itu amat peribadi, terpencil dari pusat peranginan lain di Langkawi.

Mengambil masa hanya 25 minit perjalanan dari Lapangan Terbang

Antarabangsa, Langkawi, resort mewah ini menyediakan lima pilihan bilik

berharga antara RM1,710 hingga RM15,200 semalam. Maklumat hubungi talian 04-9508905 atau layari www.fourseasons.com/langkawi.

#9 Amy Search Buka Restoran Cheng Ho di Wangsa Maju

Pada hari Jumaat (4 April 2008) jam 3 petang, Budiey dan Azwan singgah memenuhi jemputan Amy Search untuk meraikan Hari pembukaan Restoran Cheng Ho miliknya di Wangsa Maju. Jemputan disampaikan kepada Budiey oleh Marliah daripada harian Kosmo! Terima kasih Marliah!

Berkonsepkan Chinese Islamic Seafood, restoran ini yang dibuka setiap hari ini menawarkan resepi-resepi enak lagi lazat yang Budiey rasa sangat-sangat sedap. Budiey dah cuba. Kalau tidak percaya cakap Budiey, korang semua boleh singgah dan cuba sendiri. Alamat restoran Amy Search: Block 3b-15-17g, Belakang Pasaraya Carefour, Seksyen 4, Wangsa Maju.

dalam

Difahamkan majlis yang lebih kepada kenduri ini dibuat selama 2 hari. Hari pertama, media dan selebriti dijemput dan hari kedua pula adalah untuk famili, sanak saudara serta rakan-rakan penyanyi rock popular itu.

Mungkin rezeki Amy Search sangat murah, maka idea untuk membuka perniagaan berasaskan makanan ini direalisasikan dengan pertolongan rakan-rakan. Tidak banyak pilihan, masakan Cina yang bersifat Islamik (Halal lagi berkhasiat) dijadikan menu pilihan. Amy mengharapkan semoga yang pengunjung dan peminat yang datang ke restoran ini, bukan kerana nama Amy sebagai ikon dunia hiburan tetapi kerana menu masakannya yang sangat menyelerakan.

amy-boss

Rupanya sudah lama niat untuk membuka restoran tetapi mungkin masa tidak begitu sesuai. Ramai di kalangan selebriti telah gulung tikar kerana keadaan ekonomi yang agak meruncing.
Budiey mendoakan agar restoran Amy ini akan terus mendapat sambutan.

dalam 2

Konsep dan idea bagi konsep restoran ini datang dari Allahyarham Jalil Ngah. Tetapi kenapa nama Cheng Ho? Oooh, rupanya Amy tertarik dengan nama laksamana dan nama ini agak catchy dan senang disebut sebab sudah terkenal hatta budak-budak sekolah pun tahu tentang sejarahnya. Tapi alangkah elok kalau menggunakan nama Amy Search untuk nama restoran ini, kan?

Sekiranya rezeki mengizinkan, Amy akan membuka satu lagi cawangan di lokasi lain pada 6 bulan akan datang. Dari segi dekorasi pula, masih lagi tidak sempurna. Sebahagian dinding dihiasi dengan poster dan gambar hitam putih yang bercirikan Islamik Cina.

Bajet untuk restoran ini dalam lingkungan RM250 ribu dengan menggunakan khidmat 15 orang pekerja. Ramai pelayan dan staf datang dari Sabah dan sebenarnya mereka rupa-rupanya adalah peminat Amy Search. Ramai di kalangan mereka adalah tidak mempunyai pekerjaan sebelum ini dan Amy rasa wajar untuk mengambil mereka bekerja sebagai satu sokongan dan bantuan.

makanan

Kepada pembaca khususnya peminat Amy Search, bolehlah datang dan cuba menu menarik seperti ketam masak telur masin. Restoran dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 11 malam.

Tinggalkan jawapan